Nafkah untuk seorang istri…

24 11 2010

Mengenang kembali peristiwa di Arafah, pada tanggal 9 Dzulhijjah tahun 10 Hijrah iaitu sebelum kewafatan Rasulullah SAW salah satu wasiat baginda yang disampaikan melalui khutbah Wida’ kepada sekalian umat Islam, iaitu agar kita mengawasi dan memelihara kaum wanita sebagai satu amanah.

Tugas dan tanggungjawab ini, ditujukan khusus kepada kaum lelaki yang berperanan sebagai suami di dalam sesebuah rumahtangga. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Takutlah kamu kepada Allah dalam urusan wanita, kerana sesungguhnya kamu telah mengambil mereka dengan amanah Allah.” (Hadis Riwayat Muslim)

Asas kejadian kaum lelaki, dikurniakan oleh Allah dengan kekuatan fizikal, mempunyai pemikiran yang luas dan beberapa kelebihan lain. Sebaliknya kaum wanita diciptakan dengan sifat yang lemah lembut, penyayang dan kurang agresif. Mereka lebih banyak dipengaruhi oleh emosi. Oleh itu sewajarnya kaum lelaki diberi tugas dan tanggungjawab memikul amanah menjadi ketua atau pemimpin yang mengawal serta memberi perlindungan kepada kaum wanita.

Firman Allah SWT maksudnya, “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum wanita, kerana Allah telah melebihkan orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang perempuan, dan juga kerana orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian daripada harta mereka.” (Surah an-Nisaa’, ayat 34)

Amanah yang dipertanggungjawabkan

Setiap pasangan harus berasa bertanggungjawab sepenuhnya menjalankan tugas masing-masing demi membangunkan keluarga. Bagi lelaki, sebagai ketua dalam negara, pemimpin dalam masyarakat, suami kepada isteri, bapa kepada anak-anak atau sebagainya. Mereka seharusnya memahami hak-hak serta tuntutan kaum wanita yang menjadi kewajipan bagi mereka memperjuangkannya serta membela nasib kaum wanita ini apabila mereka teraniaya.

Sirah Rasulullah SAW telah membuktikan bahawa baginda merupakan pembela kaum wanita yang terulung. Baginda bukan sahaja membawa risalah Islam yang sempurna, bahkan telah berjaya membebaskan kaum wanita dari cengkaman adat jahiliah serta meletakkan kedudukan mereka ke suatu taraf yang begitu mulia.

Namun paling mengecewakan apabila terdapatnya kaum lelaki yang suka mengambil kesempatan di atas kelemahan wanita dan memandang rendah terhadap mereka serta menjadikan mereka mangsa mereka serta menjadikan mereka mangsa penganiayaan.

Pandangan kaum wanita tidak begitu diambil perhatian menyebabkan hak atau kepentingan mereka terhakis. Keadaan ini terjadi disebabkan wujudnya perasaan ego yang tinggi di dalam diri lelaki dan tiadanya kesedaran dalam memikul amanah dan tanggungjawab terutamanya sebagai ketua rumahtangga. Banyak kes-kes seumpama ini berlaku dalam masyarakat, contohnya:

(i) Mengabaikan nafkah (perbelanjaan) isteri.

(ii) Tidak menyediakan tempat tinggal yang sepatutnya.

(iii) Bersikap kasar terhadap isteri.

(iv) Memberi tugas di luar kemampuan isteri.

(v) Menganiaya (mendera) isteri.

(vi) Melimpahkan tanggungjawab dirinya (seorang suami) ke bahu isteri.

Kewajipan Suami Memberi Nafkah (belanja)

Sesungguhnya kewajipan memenuhi keperluan nafkah terhadap isteri tidak hanya terhenti setakat nafkah batin semata-mata tetapi juga nafkah zahir termasuk memberi belanja dan keperluan zahir kepada isteri. Perkara ini telah ditetapkan oleh syarak sebagaimana firman Allah SWT yang maksudnya, “Dan kewajipan suami memberi makanan dan pakaian kepada isteri dengan cara yang baik.” (Surah al-Baqarah, ayat 233)

Takrif nafkah harta (belanja) adalah suatu bahagian daripada harta yang dibelanjakan kepada orang-orang yang dipertanggungjawabkan kepada suami terhadap isterinya. Manakala yang dikatakan harta itu pula mestilah daripada sumber yang halal, iaitu bukan hak anak yatim atau bukan hak orang lain yang disimpan serta ia bukan dari usaha mencuri, rasuah, riba dan sebagainya. Maka harta yang dijadikan nafkah untuk perbelanjaan isteri dan anak-anak mestilah harta yang diperolehi dari jalan yang halal. Harta yang haram tidak boleh dijadikan nafkah.

Sabda Rasulullah SAW yang maksudnya, “Setiap daging yang tumbuh dari sesuatu yang haram, nerakalah yang lebih layak baginya.”

Hak Isteri Tanggungjawab Suami

Salah satu daripada hikmah mengapa beban nafkah itu terpikul di bahu suami adalah disebabkan kelebihan lelaki dalam penciptaannya dari segi kekuatan fizikal dan akal fikirannya yang disifatkan sebagai mampu untuk bekerja keras mencari nafkah, memberi pelindungan dan mempertahankan maruah keluarga di mana tidak ada kewajiban bagi isteri untuk mencari nafkah.

Tetapi ini bukanlah bermaksud bahawa Islam telah menggambarkan wanita sebagai orang yang lemah dan hanya membebani lelaki tetapi ia adalah penghormatan Islam kepada wanita sehubungan dengan tugas mereka yang amat kompleks di rumah dalam menguruskan hal anak-anak dan keluarganya.

Oleh itu memberi nafkah ini adalah wajib hukumnya ke atas suami semenjak mula berlakunya pernikahan, meskipun si isteri itu merupakan seorang yang kaya di mana perkahwinan itu sekali-kali tidak akan mengubah kedudukannya bahkan dia tetap mempunyai hak-hak peribadi yang tidak boleh diganggu walaupun oleh suami.

Sedangkan suami tetap bertanggungjawab memberikan nafkah kepada isterinya itu yang merangkumi penyediaan keperluan asas iaitu makanan, pakaian, tempat tinggal yang selesa di samping memberikan wang perbelanjaan untuk menguruskan keperluan diri, anak-anak dan rumah tangga.

Ini adalah berdasarkan kepada keadaan dan kemampuan si suami tersebut dimana isteri yang baik tidak akan ‘merengek-rengek’ meminta sesuatu yang tidak mampu dibeli atau disediakan oleh suaminya sebagaimana yang tersebut didalam al-Quran yang maksudnya, “Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekara kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.” (Surah at-Thalaq, ayat 6-7)

Sedekah Yang Diwajibkan

Sesungguhnya Islam menganggap bahawa pemberian nafkah suami kepada isteri itu sebagai satu sedekah di mana Rasulullah SAW menerangkan dalam sebuah hadis baginda bahawa sedekah yang paling baik adalah yang melebihi keperluan. Walhal sedekah ini pula elok didahulukan kepada orang yang dibawah tanggungan si suami itu sendiri yang membawa maksud kepada isteri masing-masing.

Sa’ad bin Abu Waqqash berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda maksudnya, “Setiap belanja yang engkau berikan demi mencari redha Allah, pasti diberikan pahala, sekalipun yang engkau suapkan ke dalam mulut isterimu.” (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim).

Malahan nilai memberi nafkah kepada isteri dan anak itu sebenarnya adalah lebih utama daripada menyumbangkan harta demi perjuangan Islam di mana Rasulullah SAW pernah bersabda yang maksudnya, “Satu dinar yang engkau belanjakan untuk perang di jalan Allah dan satu dinar yang engkau belanjakan untuk isterimu, yang paling besar pahalanya ialah apa yang engkau berikan kepada isterimu.” (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)

Fenomena Masyarakat

Jika ditinjau tentang kehidupan berumah tangga sekarang kebanyakan lelaki lebih gemar memilih perempuan yang berkerjaya sebagai isteri, bukan kerana dia tidak mampu, tetapi pada pandangan mereka jika isteri bekerja, bayaran nafkah termasuk wang belanja dapur dan perbelanjaan–perbelanjaan asas keluarga boleh dikongsi dalam erti kata lain boleh digunakan wang gaji isteri dan diharap boleh melepaskan banyak beban yang sepatutnya menjadi tanggungjawab dirinya.

Dalam hal ini sekalipun masyarakat sudah menganggap perkara tersebut sebagai lumrah kehidupan berumah tangga iaitu berkongsi susah dan senang, namun sebenarnya ia adalah menjadi tanggungjawab suami di mana isteri hanya perlu membantu sekiranya suami didapati tidak mampu dan hal ini telah dijelaskan oleh Islam sebagai satu ibadah yang akan mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah SWT.

Hal ini telah disebutkan oleh Rasulullah SAW di mana terdapat sepasang suami isteri, Zainab dan Abdullah bin Mas’ud. Si suami tersebut tergolong dalam golongan fakir, sementara isterinya memiliki harta yang sungguh banyak yang ingin disedekahkan. Maka mereka pun datang menemui Rasulullah SAW dengan ditemani oleh seorang wanita yang juga mempunyai niat yang sama. Ketika sampai di hadapan rumah Rasulullah mereka bertemu Bilal.

Zainab pun berkata, “Katakanlah kepada baginda bahawa ada dua orang perempuan yang akan bertanya apakah cukup kalau harta mereka diberikan kepada suami mereka dan kepada anak yatim di rumah-rumah mereka? Tolong jangan kau katakan siapa kami.”

Bilal pun masuk dan menanyakan hal tersebut kepada Rasulullah SAW.

Terlebih dahulu baginda bertanya siapakah wanita itu.

Bilal pun berkata, “Seorang wanita Ansar dan Zainab.”

“Zainab yang mana?” Tanya Rasulullah.

“Isteri Abdullah bin Mas’ud.”

Jawab baginda: “Mereka berdua akan mendapatkan dua pahala. Satu pahala ibadah dan satu pahala sedekah.” (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)

Namun kesilapan yang sering dibiarkan berlaku ialah tentang terdapatnya suami yang alpa dan sengaja mengambil kesempatan terhadap isterinya yang bekerja sehingga ada yang hidup dengan hasil pendapatan isteri semata-mata, tanpa melakukan apa-apa kerja.

Sedangkan Islam telah mengingatkan bahawa dalam hal pendapatan isteri, adalah menjadi hak mutlaknya sendiri di mana dia berhak berbuat apa saja terhadap harta pencariannya dan suami tidak berhak untuk mengawal, mengatur, mengambil atau membelanjakan harta tersebut tanpa persetujuannya terlebih dahulu apalagi memaksanya memikul tanggungjawab menanggung keluarga.

Kelayakan Isteri Mendapat Nafkah

Isteri yang layak mendapat nafkah mestilah isteri yang sah atau isteri dalam ‘iddah raj’i atau ‘iddah yang boleh dirujuk kembali, ertinya ialah ‘iddah dari talak satu atau dari talak dua di mana ‘iddah talak tiga tidak berhak diberi nafkah kerana ia adalah talak yang tidak boleh dirujuk kembali.

Oleh itu seandainya isteri tersebut tidak mendapat nafkah yang adil dan mencukupi daripada suami atau dia dikasari oleh suami, maka dia boleh mengemukakan tuntutan atau saman di Mahkamah Syariah kecuali seseorang isteri itu nusyuz (derhaka) kepada suaminya, curang dan sebagainya atau tamat tempoh iddah maka dia tidak berhak untuk mendapat nafkah.

Contoh Pengabaian Nafkah

Terdapat sebilangan suami yang mengabaikan tanggungjawab kerana:

i) Mempunyai isteri yang berpendapatan lebih atau sama dengannya dan suami tersebut menganggap bahawa sudah mencukupi untuk isteri menanggung sendiri perbelanjaan rumah tangga dan dirinya.

ii) Bertujuan untuk mendidik isteri agar tidak menjadi boros.

Menuntut Hak

Apabila isteri menyedari kesilapan yang telah dilakukan oleh suaminya maka si isteri hendaklah:

1. Menasihati suami secara lemah-lembut dan bersopan tentang tanggungjawabnya atas dasar tidak mahu menderhaka kepadanya.

2. Mencari orang ketiga yang boleh dipercayai dan dihormati untuk menyedarkan kesalahan suami.

3. Merujuk kepada mahkamah syariah.

Begitupun Islam mengharuskan si isteri mengambil haknya meskipun tanpa pengetahuan suami (sekiranya keadaan sudah terdesak) kerana pernah diriwayatkan oleh Aisyah r.a. bahawa Abu Sufyan iaitu seorang sahabat Rasulullah SAW yang cukup kaya, bersifat terlalu kedekut dalam memberikan nafkah (belanja) kepada isterinya sehingga isterinya nekad mencuri wang suaminya.

Hindun, isteri Abu Sufyan itu mengkhabarkan halnya ini kepada Rasulullah SAW. “Sungguh Abu Sufyan adalah orang yang kikir (kedekut). Ia tidak memberiku belanja yang mencukupi bagi diriku dan anaknya, sehingga aku terpaksa mengambil hartanya tanpa pengetahuannya.”

Rasululah menjawab, “Ambillah sebanyak mana yang mencukupi dirimu dan anakmu dengan wajar.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kesimpulan

Sebuah hadis mengatakan yang di antara maksudnya, “Rasulullah SAW bersabda… seorang lelaki adalah pemimpin atas keluarganya. Dia akan ditanya tentang kepimpinannya…” (Hadis Riwayat Muslim)

Maka di sini seorang suami akan diminta bertanggungjawab tentang ahli keluarga yang di bawah tanggungannya termasuklah urusan pemberian nafkah. Oleh itu, sebagai ketua keluarga, sama ada isteri meminta atau tidak, memberi nafkah tetap menjadi tanggungjawab seorang suami kerana sesungguhnya Rasulullah SAW amat membenci umatnya yang bersifat bakhil terutama kepada pasangan yang telah melahirkan zuriatnya malah sifat bakhil ini juga adalah termasuk bagi orang yang tidak menggunakan tenaganya untuk berusaha mencari nafkah untuk diri dan keluarganya. Sebaliknya mengharap isteri bekerja untuk menyara kehidupan rumah tangga mereka.

Golongan ini akan dibalas dengan berbagai-bagai ancaman di akhirat kelak di mana baginda ada bersabda dalam sebuah hadisnya bahawa orang bakhil itu jauh daripada Allah, jauh daripada syurga, dan pergaulan manusia, sebaliknya dekat dengan api neraka.

Manakala orang yang dermawan itu dekat kepada Allah, dekat kepada syurga, dekat dengan manusia dan jauh dari api neraka. Maka sewajarnya seorang suami yang benar-benar bertanggungjawab pasti akan dapat melahirkan suasana damai dan harmoni dalam rumah tangga. Tidak akan berlaku masalah ketidakadilan, penganiayaan dan sebagainya.


Actions

Information

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s




%d bloggers like this: